DdRG, UTM Skudai
Hampir setiap hari dalam penghidupan ini, kita berhadapan dengan konsep ‘harga’. Harga sekilo ikan kembung, harga kereta Proton Wira dan harga minyak masak di pasaraya. Pernahkah kita bertanya apa itu sebenarnya harga? Sejarah awal manusia menunjukkan mereka saling memerlukan pertukaran barangan dan perkhidmatan. Mereka melakukan pertukaran dan perdagangan dengan meletakkan sesuatu nilai kepada ‘logam kuning’ yang dikenali sebagai emas yang boleh ditukar dengan pakaian dan makanan. Mereka menggunakan suatu komoditi asas sebagai benda bernilai dan membuat pertukaran barangan dan perkhidmatan dengannya dan dari sinilah bermulanya konsep harga.
Perdagangan yang berlaku di pasar di bandaraya seperti Istanbul, Rabat dan Baghdad, harga sesuatu komoditi diletakkan oleh penjual dan aktiviti tawar menawar berlaku atau dibahaskan, kemudiannya setelah mencapai persetujuan tentang harga barulah pembayaran dibuat dan pertukaran barang berlaku.
Bagi kebanyakan perkhidmatan, harga boleh dinyatakan mengikut kadar usaha dalam masa. Harga suatu komoditi, harganya ditentukan oleh pembolehubah asas bekalan dan permintaan dalam pasaran. Bagi kebanyakan pengguna, harga adalah sesuatu yang telah ditetapkan oleh penjual dan kita sebagai konsumer hanya berupaya untuk menerimanya atau tidak.
Dinar emas adalah koin seberat 4.25gram emas 22 karat. Siapa yang menetapkan harga dinar emas ini? Oleh kerana dinar emas diperbuat daripada emas tulen, harganya sudah tentu bergantung kepada harga emas mengikut harga pasaran emas dunia. Siapa pula yang menentukan harga pasaran emas dunia ini? Adakah pengeluar emas yang menentukan harga?
Pengeluar kelapa sawit tidak terus mengeluarkan minyak masak. Bahan mentah yang dikeluarkan diproses terlebih dahulu sebelum digunakan atau diekspot. Pengeluar emas tidak sama seperti pengeluar barangan komoditi lain seperti getah dan kelapa sawit. Kita dapati hasil keluaran lombong emas adalah suatu produk langsung iaitu emas. Oleh kerana hasil keluaran lombong adalah emas dan sifat emas yang sekata ini menyebabkan harga emas di London adalah sama dengan harga emas di mana ianya dikeluarkan. Oleh itu tidak terdapat perbezaan atau persaingan dari segi harga logam yang dihasilkan.
Sebab itulah AngloGold sebuah syarikat perlombongan terbesar di dunia tidak bersaing dengan Newmont pengeluar emas kedua terbesar atau Newcrest atau Ashanti atau dengan mana-mana pengeluar emas yang lain. Walau di mana emas itu dilombong, harga emas dunia tetap sama dengan harga yang telah ditetapkan dalam dolar AS. Siapa yang menetapkan harga emas? Yang membezakan harga satu auns emas adalah kos pengeluarannya. Pengeluar emas dunia mesti menerima harga emas antarabangsa yang ditetapkan oleh agen dengan telefon berangkai di sebuah pejabat di bangunan tua di London dengan bantuan imbasan pada skrin komputer yang menunjukkan perdagangan elektronik yang berlaku di New York. Pelombong emas tidak ada kuasa langsung untuk menentukan harga emas yang mereka keluarkan. Pengeluar emas hanyalah sebagai penerima harga yang telah ditetapkan oleh lima orang yang dilakukan dua kali dalam sehari. Seperti perniagaan lain, yang utama dalam mana-mana perniagaan adalah keuntungan, sesuatu yang menjadi punca utama kunci untuk terus wujud dalam perniagaan iaitu fungsi harga produk yang dikeluarkan. Keuntungan adalah pendapatan tolak kos, pendapatan yang ditentukan oleh hasil darab kuantiti yang dijual dengan unit harga bagi setiap item.
Oleh kerana harga emas itu sama walau dimana ianya dikeluarkan maka untuk pengeluar emas boleh meningkatkan keuntungan hanyalah dengan meningkatkan kuantiti dan menempakan emas itu kepada matawang yang lebih bernilai tinggi. Jadi keuntungan boleh ditokok dengan meningkatkan kuantiti emas yang dikeluarkan. Tetapi secara asasnya jika harga emas telah ditetapkan, cabaran kepada pelombong hanyalah dengan mengurangkan kos pengeluaran. Hanya kos pengeluaran sahaja yang boleh dikawal oleh pengeluar emas.
Kos boleh diminimumkan dengan meningkatkan kecekapan pengeluaran emas, walau bagaimanapun oleh kerana keadaan perlombongan yang ada sekarang, pelombong hanya mempunyai sedikit sahaja pilihan untuk mengubah cara melombong dan meminimumkan kos. Cara lain adalah dengan mendapatkan jongkong yang lebih berkualiti dibandingkan dengan kuantiti jongkong yang dikeluarkan.
Berdasarkan kos pengeluaran yang diberikan oleh Gold World bahawa kos pengeluaran bagi bulan March yang dicatatkan oleh lapan pengeluar emas di dunia yang mewakili satu pertiga pengeluaran emas, purata pengeluaran mereka adalah US$232 per auns. Jika dimasukkan kos perkhidmatan, faedah wang kertas, kos terokaan dan percukaian semuanya berharga dalam lingkungan US$42 per ouns, jadi kos efektif pengeluaran emas adalah US$274 per ouns.
Harga emas makin meningkat dibandingkan dengan dolar Amerika. Faktor pengerak harga emas mengarahkan kepada harga emas terus meningkat. Perhatikan apa yang berlaku sekarang terhadap usaha AS. Peperangan menentang keganasan oleh AS dengan koncu-koncunya membawa kepada peningkatan harga emas. Tingginya harga emas akan meningkatkan defisit perbelanjaan yang melemahkan lagi dolar Amerika. Kelemahan dolar Amerika akan meninggikan lagi harga emas. Rendahnya kadar faedah yang berlaku sekarang ini tidak disenangi oleh banyak institusi kewangan. Kadar faedah yang amat rendah pada aras terendah sejak 40 tahun telah meningkatkan lagi penjanaan bekalan wang kertas lantas meningkatkan harga emas. Sebaliknya jika harga emas dikawal di aras yang rendah, pengeluaran emas pula tidak menguntungkan dan ini akan mengurangkan jumlah emas dalam pasaran. Keadaan begini akan meninggikan harga emas. Permintaan kepada emas terus meningkat dengan bilangan penduduk dunia yang bertambah. Kadar faedah yang rendah akan mengurangkan aktiviti ‘hedging’ dan ini akan menyebabkan kurang bekalan emas dan kesannya adalah kenaikan harga emas. Kurangnya kepercayaan dunia dengan polisi yang diamalkan oleh AS akan menyebabkan masyarakat dunia mengalih pergantungan kepada dolar Amerika. Emas menjadi sandaran yang paling kukuh.
Satu lagi fenomena penting yang berlaku sekarang ini ialah peningkatan permintaan emas oleh negara China. China telah membuat keputusan untuk mengikat “reserve” asingnya dengan emas. Tindakan China ini menambah permintaan emas dunia dan dengan perkembangan ekonomi yang memberansangkan permintaan kepada emas akan terus meningkat. Shanghai Gold Exchange (SGE) telah mula membuka peluang untuk rakyat negara itu untuk melabur dalam emas fizikal dan ini meningkatkan lagi permintaan emas serta meningkatkan kecairan perdagangan berasaskan emas. Tindakan oleh SGE telah secara langsung meningkatkan lagi permintaan emas dan harga emas. Polisi domestik negeri China telah meningkatkan pendapatan lebih daripada 800 juta rakyatnya dan ini akan meningkatkan kuasa membeli rakyatnya seterusnya meningkatkan permintaan emas.
Graf harga emas dalam dolar per ouns adalah pada kadar meningkat sejak tahun 1990 hinggalah ke tahun 2003. Begitu juga dengan Equities (S&P 500 index) menunjukkan kadar minimum yang meningkat mengikut tahun yang sama. Beberapa faktor yang menyokong kenaikan harga emas adalah pasaran ekuiti sekarang ini di bawah paras di mana harga emas berkadaran songsang dengan S&P 500. Perbelanjaan defisit dan kadar pulangan yang rendah atau sifar membawa kepada susutnya nilai dolar Amerika. Kita dapati juga banyak pelombong emas terus mengumumkan untuk mengurangkan program ‘hedging’ dan meningkatkan permintaan terhadap emas fizikal walaupun harga emas yang agak tinggi.
Pembaharuan dalam minat pelabur untuk melabur dalam dagangan emas turut meningkatkan lagi permintaan emas dengan pelaburan yang meningkat di China disebabkan kelongaran peraturan pemilikan dan perdagangan emas. Kekurangan penemuan lombong emas yang baru di dunia dengan permintaan emas yang tetap tinggi akan terus meningkatkan lagi harga emas. Semua peristiwa yang dinyatakan di atas memberi petanda bahawa harga emas dibandingkan dengan dolar Amerika akan terus meningkat. Untuk mengurangkan impak ini, kita dengar baru-baru ini bank Eropah telah menjual jongkong emasnya dan tindakan ini menurunkan sedikit harga emas tetapi kembali tinggi setelah beberap minggu. Apa yang kita boleh pelajari adalah sistem perbankan barat akan mencari jalan supaya kepercayaan kepada emas tidak diterima masyarakat. Mereka merasakan simpanan emas tidak membawa banyak keuntungan kerana mereka selama ini menjalankan aktiviti menyorok (hoarding) emas dari diguna pakai oleh masyarakat umum.
Matawang dinar emas tidak bergantung kepada mana-mana koporat atau kerajaan “janji untuk membayar’. Ianya digunakan sebagai sandaran kegagalan bank, kawalan pertukaran asing dan penilaian semula matawang kertas (currency devaluation). Ianya sangat relevan kepada pasaran yang baru. Negara yang baru mengembangkan ekonominya seperti Burma, Kemboja dan Laos mendapati dinar emas amat sesuai untuk melindungi pendapatan negaranya, Timor-Timor negara baru yang masih menggunakan dolar Amerika sedang mencari alternatif kepada wang kertas tak bernilai ini. Dinar emas mampu menjadi matawang negara itu dan perdagangan boleh dilakukan dengan menggunakan dinar emas. Umat Islam harus yakin untuk berubah kepada penggunaan dinar emas sebagai simpanan kekayaan sebenar atau komoditi lain. Kekayaan sebenar ini mesti diusahakan supaya berada di tangan umat Islam, bukan bergantung kepada wang kertas dolar Amerika yang terus menerus susut nilainya disebabkan oleh faktor riba, inflasi, manipulasi dan spekulasi peniaga matawang dunia.
0 comments